Latar belakang

My photo
Saya sedang mengikuti program Sarjana Pendidikan Muzik Semester 4 di Universiti Pendidikan Sultan Idris. Blog ini direncanakan sebagai salah satu tugasan Multimedia dalam Pendidikan Muzik yang diterajui oleh En.Affandi Hj. Ramli. Ucapan terima kasih atas segala tunjuk ajar sepanjang proses menimba ilmu. Blog ini diharap boleh dijadikan rujukan pelajar-pelajar sekolah yang ingin mencari input tentang muzik klasik barat versi Bahasa Melayu.

Friday, October 9, 2009

Era Baroque (1600-1750)

Zaman Baroque (1600-1750) adalah zaman pergolakan dalam politik, sains dan kesenian dalam masyarakat Eropah Barat.

Zaman ini juga merupakan pertembungan agama antara puak Protestants dan Katholik. Era ini memperlihatkan perkembangan kebudayaan kelas pertengahan. Penghasilan muzik bermula di rumah, gereja dan universiti, dikenali sebagai collegium musicum yang sehingga kini masih berfungsi di kebanyakan kampus. Istilah ‛baroque’ didapati daripada perkataan Portugis iaitu ‛barroco’.
Peralihan zaman Renaissance ke zaman Baroque membawa banyak perubahan dalam aspek muzikal. Kecenderungan minat pencipta muzik beralih daripada tekstur polyphony kepada tekstur homophony. Era Baroque memperkenalkan stail baru – monody, iaitu nyanyian solo dengan iringan alat muzik instrumental. Monody dipelopori oleh penulis, artis, dan pemuzik Florentine yang dikenali sebagai Camerata yang mengenengahkan seni drama muzikal Greek kuno. Ahli-ahli Camerata begitu berminat membincangkan tentang le nouve musiche (the new music) yang lebih berstail ekspresif. Ahli-ahli Camerata menyedari bahawa stail ini bukan sahaja sesuai untuk puisi yang pendek, malah berkesan digunakan pada keseluruhan drama. Dengan itu, terhasillah satu seni muzikal yang penting pada zaman Baroque iaitu Opera.

Ciri-ciri muzik Baroque

• hasil karya muzik baroque biasanya bermula dengan satu mud asas yang diulang secara berterusan sehingga  akhir.

• bermula dengan satu corak irama yang diulang secara berterusan sehingga akhir lagu dengan penekanan kepada bit.

• melodi era Baroque adalah berdasarkan satu idea muzik asas yang diulang dan dipelbagaikan. Idea asas diulang pada pic, sama ada yang lebih tinggi atau rendah. Hiasan (ornaments) digunakan pada melodi atau not yang panjang. Faktor ini menyebabkan melodi zaman Baroque susah untuk dinyanyikan dan diingati.

• tonaliti muzik Zaman Baroque adalah dalam nada Major dan nada minor.

• pertukaran dinamik secara mendadak sama ada daripada kuat ke lembut atau sebalik. ‘Terrrace dynamics’ digunakan terutamanya dalam permainan alat harpsikod, organ dan muzik vokal.

• muzik Baroque kebanyakannya bertekstur polifoni dan homofoni. Dalam harmoni, penekanan adalah kepada kod dan bes (basso continuo) untuk mengiringi sesuatu karya.

• modulasi dan kod ke-7 diperkenalkan di samping penggunaan kaden perfek  (V-I).

• Jenis muzik vokal era Baroque ialah opera, cantata, oratorio, lied, recitative,dan aria.

• Muzik instrumental pula ialah sonata, suite, dan cancerto. Fugue ditulis untuk kedua-dua jenis muzik vokal dan instrumental.

• Orkestra era Baroque memberi penekanan lebih kepada alat muzik hapsikod dan alat muzik seperti cello, double bes, violin, viola dan basun. Alat tiup bras, alat tiup dan perkusi dipelbagaikan dan digunakan mengikut keperluan sesebuah karya.