Latar belakang

My photo
Saya sedang mengikuti program Sarjana Pendidikan Muzik Semester 4 di Universiti Pendidikan Sultan Idris. Blog ini direncanakan sebagai salah satu tugasan Multimedia dalam Pendidikan Muzik yang diterajui oleh En.Affandi Hj. Ramli. Ucapan terima kasih atas segala tunjuk ajar sepanjang proses menimba ilmu. Blog ini diharap boleh dijadikan rujukan pelajar-pelajar sekolah yang ingin mencari input tentang muzik klasik barat versi Bahasa Melayu.

Saturday, October 24, 2009

Era Romantik (1820 –1900)

Era Romantik (1820 –1900 )



Awal abad ke-19 merupakan titik permulaan muzik era Romantik. Muzik era Romantik dipengaruhi oleh revolusi perindustrian yang telah mengakibatkan perubahan sosial dan ekonomi di Eropah pada ketika itu. Perubahan sosial dan ekonomi ini menyebabkan munculnya satu pergerakan budaya iaitu komposer berani bersuara dan bebas meluahkan perasaan dalam karya seni yang dihasilkan.

Stail muzik era Romantik mengutamakan emosi, daya imaginasi yang tinggi dan silap individualisme. Biasanya tema yang dipilih untuk karya muzik era ini adalah berasaskan unsur alam separa sedar, perasaan yang tidak rasional dan pengalaman komposer dalam alam maya atau mimpi. Selain daripada itu karya muzik era Romantik adalah berasaskan sastera, lagu rakyat, tarian, lagenda dan sejarah tanah air komposer masing-masing.

Ciri-ciri muzik era Romantik

• Menekankan stail dan ekspresi yang menggambarkan personaliti komposer. Bunyi yang dihasilkan adalah
  unik.

• Meneroka pelbagai jenis perasaan seperti perasaan mesra, riang, seronok, rindu dan sedih.

• Muzik era Romantik berunsur patriotik.

• Muzik era Romantik juga dipengaruhi oleh muzik dari Asia yang dianggap exotic.

• Kepelbagaian warna ton diutamakan untuk menghasilkan variasi mud dan suasana.

• Penggunaan kord disonan dan kord kromatik.

• Nada lagu sering bertukar-tukar (rapid modulation).

• Menggunakan aras dinamik yang ekstrem seperti ffff dan pppp, perubahan crescendo dan decresendo yang
  kerap dan perubahan dinamik yang mendadak.

• Tempo rubato diperkenalkan dalam karya muzik era Romantik.

• Jenis muzik era Romantik yang terhasil ialah simfoni, sonata, string quartet, concerto, opera dan karya
  vokal tetapi babaknya lebih panjang daripada karya muzik era Klasikal.

• Jumlah pemuzik orkestra era Romantik adalah besar iaitu melebihi 100 orang.